Percikan Pelangi, Karya Seindah Nama (Haiku & Tanka)

Assalamualaikum dan salam sejahtera πŸ™‚

 

Ingat tak haritu saya ada bagitau nak buat entri lanjutan tentang karya Jepun, Haiku dan Tanka? Kali ini saya copy & paste balik ulasan yang pernah saya buat pada ruangan note Facebook saya. Ulasan tersebut berkisar tentang buku Antologi Haiku Tanka yang bertajuk Percikan Pelangi karya Puan Hajah Halela dan Tuan Darma.

 

Haiku Tanka Percikan Pelangi

 

Percikan Pelangi merupakan himpunan sebanyak 230 untai haiku dan 110 untai tanka hasil garapan daripada dua orang pejuang seni tersohor iaitu Puan Leyla Shuri yang saya panggil sensei dan Tuan Darma Mohammad yang lebih saya kenali sebagai Pak Darma.

 

Buku Percikan Pelangi di dalam keratan akhbar Berita Harian

 

Sejujurnya, membaca coretan di dalam Nota Penerbit daripada Tuan Leo A.W.S sudah membuat diri teruja untuk terus bermesra dengan haiku dan tanka. Membaca Pembuka Tirai dan Selayang Pandang daripada penulis akan memberi sedikit sebanyak kefahaman tentang puisi ini.

 

Bagi yang belum pernah mengenali atau mendengar tentang Haiku dan Tanka, pasti tertarik untuk berkenalan dengan puisi yang berasal dari negara matahari terbit ini. Bagi yang pernah mengetahui tentang puisi ini, pasti tidak akan melepaskan peluang untuk memiliki permata yang tidak ternilai ini.

 

Secara ringkasnya, Haiku dan Tanka merupakan puisi yang mempunyai identiti dan teknik penulisannya yang tersendiri yang menjadikannya sangat unik. Haiku ditulis di dalam tiga baris dan mempunyai 5-7-5 suku kata.

 

Syarat utamanya yang lain ialah perlu dihadirkan dengan kigo/kata musim. Unsur metafora yang dimasukkan akan menambahkan lagi impak dan keindahan karya yang dihasilkan.

 

Manakala Tanka pula ialah puisi lima baris dan mempunyai 5-7-5-7-7 suku kata.Dengan izin daripada penulis, dihamparkan beberapa contoh haiku dan tanka daripada buku Percikan Pelangi ini beserta ulasan yang telah disemak.

 

Haiku Leyla Shuri : ms 10 : 28

Di lereng bukit

hayat mendaki tinggi

daun teh harum

Ulasan : Teh yang ditanam di lereng bukit mempunyai banyak khasiat dan sesetengahnya boleh mencegah beberapa jenis penyakit berbahaya. Sebagai contoh, banyak kajian telah membuktikan antioksidan yang terdapat dalam teh dapat melindungi tubuh daripada penyakit tertentu seperti masalah sakit jantung, strok dan kanser.

 

Haiku Darma Mohammad : ms 38 : 12

Berlapis tujuh

Tuhan susun pelangi

rukuk dan sujud

Ulasan : Kejadian pelangi ciptaan Tuhan yang mempunyai tujuh lapis warna serta bebentuk melengkung. Baris tiga juga melambangkan makhluk tunduk kepada Allah (ruku’ dan sujud). Alam bertasbih kepada Allah.

 

Tanka Leyla Shuri : ms 79 : 1

Anak sang semut

melengcong dari alur

kawal kendiri

gigih cari laluan

balik ke pangkal jalan

Ulasan : Apabila kita dapati kita telah tersasar dari landasan kehidupan yang sebenar, kembalilah ke pangkal jalan.

 

Tanka Darma Mohammad : ms 133 : 58

Tebing dan aur

gandingan dua nyawa

simpulan janji

hidup cari ikhtibar

berakarlah ukhwah

Ulasan : Berkisar tentang hubungan sesama manusia yang saling mencari kebaikan serta membaiki diri dan juga jalinan ukhwah yang erat. Dengan erti kata lain, tautan hati dua jiwa/masyarakat akan mengeratkan ukhwah yang sedia ada.

 

Bagi peminat Puisi/Haiku/Tanka, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan buku ini dengan berhubung terus dengan Tuan Darma Mohamad.

 

Amacam, menarik kan? Sesiapa yang minat berkarya, boleh lah mencuba kelainan genre karya kali ni.

 

Terima kasih πŸ™‚

 

Naimah Wahab

6 Comments

  1. Anuar April 3, 2014
  2. puteri kasih April 3, 2014
  3. Hafizul April 7, 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge